Hurin Ain 👼

Bidadari bermata indah... 😘😢

Kenapa Mama tak pernah menulis tentang Hurin Ain?... Mama pun tak pasti kenapa... Tapi hari ini Mama ingin bercerita mengenai anak sulung Mama, Hurin Ain... kakak Ajmal, Nuha dan Atif. Mama nak ceritakan supaya suatu hari nanti, Abg Ajmal, Kakak Nuha dan Adik Atif boleh baca coretan Mama ini...

Semasa mengandungkan Hurin, Mama tidak mengalami sebarang masalah, tidak mengalami morning sickness whatsoever... Mengidam apa-apa pun tidak... (actually setiap kali mengandung selepas tu pun Mama takde sebarang masalah).

Mama dijangka bersalin pada 11 Mac 2008. Namun, pada 9 Mac 2008 Mama dijadualkan ke Klinik Desa To' Uban (masa ni Mama dah mula bercuti dan dah balik kampung) untuk menjalani pemeriksaan rutin sekiranya belum bersalin. So, disebabkan Mama belum bersalin dan takde tanda-tanda nak bersalin pun, Mama ke klinik desa. Semasa check-up, doktor scan kandungan Mama dan mendapati air ketuban makin berkurangan. Doktor dapat tahu bila tengok data kat machine ultrasound tu la... So, Mama diminta untuk bersedia dimasukkan ke wad.

Mama kena admitted ke Hospital Pasir Mas. Sampai je, disuruh baring dan diletakkan alat untuk cardiotocography (CTG), untuk monitor jantung bayi dalam kandungan dan kadar contractions dalam uterus. Menurut nurse yang jaga Mama masa tu, berdasarkan data yang dicatatkan oleh alat tersebut, degupan jantung baby dalam kandungan Mama tidak normal. Kadang-kadang ok, kadang-kadang tak ok seolah-olah dia sedang bergelut di dalam perut Mama. Kadang-kadang baby tiada gerakan langsung, jadi nurse bagi minum ais batu, katanya untuk mengejutkan baby. Mama tak tahu, jadi Mama ikutkan aje...

Menjelang petang, keadaan tak berubah. Mama dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu. CTG diteruskan lagi... Keadaan masih sama, nurse di hospital ni pun masih memberi Mama minum air batu untuk mengejutkan baby dalam kandungan. Disebabkan ini kali pertama Mama mengandung, pengalaman pertama, jadi Mama takut untuk menyuarakan pendapat dan permintaan. Risau pulak dikatakan nak tunjuk pandai... tetapi Mama ada menyuarakan permintaan supaya dioperate sahaja memandangkan keadaan baby yang tak menentu. Entah apa yang berlaku kepada baby dalam kandungan Mama pada waktu itu. Hanya Allah yang tahu. Tetapi nurse bagitau yang tiada operasi pembedahan akan dijalankan pada waktu malam. Keadaan berterusan sehingga pagi.

Keesokan paginya, Mama dimasukkan ubat perangsang kelahiran (Mama dah lupa nama ubat tu). Doktor yang masukkan ubat tu bagitau, selepas 5 minit ubat tu dimasukkan ke dalam faraj, Mama akan mengalami kontraksi yang sakitnya 2 kali ganda dari kontraksi biasa. 5 minit berlalu, tapi Mama tak rasa apa-apa pun, jalan pun hanya buka 2cm... hinggakan Mama bertanya Nek Mi macam mana sakit nak bersalin ni sebab inikan pengalaman bersalin Mama yang pertama, tak pernah tau sakit nak bersalin tu macam mana...

Disebabkan takde rasa sakit pun, doktor masukkan sebiji lagi ubat perangsang kelahiran tu ke dalam faraj Mama dengan harapan Mama akan mengalami kontraksi yang berlipat kali ganda. Tapi malangnya, nothing happened, Mama tak rasa sakit nak bersalin, jalan masih buka 2cm jugak. Mama dah merayu kepada nurse yang jaga Mama tu supaya cepat-cepat operate. Tapi nurse tu bagitau, keputusan untuk operation akan ditentukan oleh doktor pakar... Doktor pakar pula belum mulakan sesi lawatan, hanya ada doktor pelatih sahaja. Mama masih ingat doktor pelatih tu, seorang doktor perempuan yang memakai tudung labuh dan seorang doktor lelaki berbangsa Cina.

Lebih kurang pukul 2 tengahari, barulah doktor pakar datang dan memutuskan untuk buat C-section. Baba menandatangani surat kebenaran. Mama pun disiapkan untuk persediaan ke operation theatre (OT)...ditolak dengan stretcher ke bilik bedah diiringi oleh dua orang doktor pelatih itu tadi. Anggapan Mama, mereka akan bawa Mama ke bilik bedah dan menunggu di situ (ada pembedahan yang sedang dijalankan pada waktu itu)... namun, sebenarnya mereka bawa Mama ke Labour Room dulu, tempat proses kelahiran normal. Mama diletakkan dalam salah satu cubicle dan bermulalah sesi untuk pecahkan air ketuban. Mama cuba protes dengan memberitahu salah seorang nurse di situ yang Mama ni akan dioperate, perlu ke proses pecahkan air ketuban ni.... tapi maybe juga nurse kat Labour Room tu tak tau hujung pangkal pun situasi Mama, menyerahkan saja urusan Mama kepada dua orang doktor pelatih tadi. Doktor perempuan tu masukkan satu tiub dalam rahim Mama dan cuba pecahkan air ketuban, tapi tak berjaya. Lalu diminta doktor pelatih berbangsa Cina itu untuk melakukan proses yang sama. Semasa dia cuba untuk memecahkan air ketuban tu, berlaku satu kejadian yang Mama khuatiri akan berlaku... Mama tumpah darah, sehinggakan 2 orang nurse yang ada kat situ menjerit kepada doktor pelatih tu... "Doktor, apa yang doktor dah buat"...

Mama tak rasa sakit pun, cuma terasa ada cecair panas yang banyak keluar dan membasahi Mama... Mama ingatkan air ketuban yang keluar sehinggalah Mama dipindahkan ke stretcher yang lain, barulah Mama nampak darah yang amat banyak kat atas stretcher yang Mama baring tadi, mengalir jatuh ke atas lantai... Mama rasa macam nak pengsan tengok darah sebanyak itu!

Selepas tu, semua yang ada kat situ termasuk doktor pelatih tu, kelam kabut tolak Mama ke OT. Sambil ditolak tu, Mama dibius...selepas tu semuanya gelap.

Sehinggalah Mama tersedar di atas katil di dalam wad. Terbuka je mata, Mama nampak doktor pelatih lelaki berbangsa Cina tu di tepi katil Mama... Mama pandang je doktor tu dan dalam fikiran Mama memang terus terfikir segala kemungkinan yang negatif. Beliau terus meminta maaf dan bagitau yang dia tak sangka perkara sedemikian akan berlaku. Beliau menerangkan keadaan kandungan Mama sambil melukis kondisi sebenar dalam kandungan Mama. Keadaan yang dia tunjuk tu dipanggil vasa previa dalam medical terms... keadaan yang berlaku kepada 1 dalam 100 kelahiran... dan ia berlaku kepada Mama. Sebenarnya, semasa proses memecahkan air ketuban tu, doktor dah tersilap memecahkan umbilical cord (tali pusat) baby...jadi darah yang keluar tu adalah dari salur darah baby sebenarnya... Doktor pelatih tu memaklumkan yang baby segera dimasukkan ke Neonatal Intensive Care Unit (NICU). Mama sangat sedih tapi apa yang Mama boleh buat...

Malam tu, masa dalam wad, Nek Mi menceritakan apa yang berlaku semasa proses Mama melahirkan. Doktor pakar yang akan melaksanakan ops keluar berjumpa Baba dan Nek Mi untuk meminta kebenaran memasukkan darah sekiranya berlaku pendarahan kerana keadaan Mama yang kritikal. Peratusan Mama untuk selamat dalam pembedahan ini hanya 50% manakala baby pula sekadar 20% sahaja. Sekiranya berlaku komplikasi, tim pembedahan akan menyelamatkan ibu sahaja. Baba dan Nek Mi yang mendengar penerangan doktor tu terpinga-pinga kerana semasa kali terakhir Mama ditolak ke OT tadi, mereka tengok Mama biasa-biasa je, siap sengih-sengih lagi... Mereka tak tahu apa yang terjadi pada Mama kat dalam sana... Bila Mama bagitau, baru mereka faham kenapa situasi menjadi sekritikal itu.

Keesokan harinya, walaupun Mama masih lemah tambahan pula bersalin secara C-sect ni memang lebih kritikal berbanding bersalin normal, Mama gagahkan juga untuk pergi ke NICU sebab nak sangat tengok baby. Baba tolak Mama dengan wheelchair ke sana.... luluhnya hati Mama tengok keadaan baby dengan wayar berselirat dan muka yang sembab. Menurut doktor yang memantau kat NICU, keadaan tu disebabkan otak baby yang telah dipenuhi air menyebabkan muka baby sembab.

Gambar ni Baba snap secara curi-curi sebab dalam NICU tak boleh tangkap gambar atau rakam video. Tapi inilah satu-satunya cara untuk tunjukkan pada Mama keadaan Hurin sebab keterbatasan Mama untuk selalu melawat Hurin di NICU.


Baba ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftar kelahiran dan baby diberi nama Hurin Ain yang bermaksud "Bidadari yang bermata indah" (nama yang Mama berkenan semenjak belajar di UIA lagi).

Bermulalah rutin Mama ke NICU untuk bawa susu badan yang Mama pam untuk diberikan kepada Hurin melalui tiub. Kadang-kadang susu yang Mama pam dapat sikit je disebabkan Mama kekurangan susu badan, Mama akan menangis teresak-esak sambil pam susu. Nek Mi selalu nasihatkan Mama jangan selalu menangis, risau meroyan...

Setiap hari Baba tak akan gagal untuk menjenguk Hurin di NICU, bawakan susu yang Mama pam untuk Hurin. Selang sehari Mama akan ikut sama memandangkan keadaan Mama yang tak mengizinkan untuk ulang alik dari rumah ke HRPZ setiap hari. Mama dah cuba bertanya pihak hospital kalau-kalau ada katil kosong di mana-mana wad yang Mama boleh tumpang sementara Hurin di NICU, tapi malangnya semua katil penuh. Terpaksalah Mama ulang alik dari rumah. Walaupun sakit, Mama gagahkan juga ke NICU semata-mata nak tengok Hurin. Sehari tak dapat pandang wajah dia, rasa tak lengkap hari Mama... setiap kali melawat, kami akan membisikkan kata-kata semangat dengan harapan Hurin dengar semua kata-kata kami.

Hurin mula buka mata... mata yang paling indah pernah Mama tatap.

Seingat Mama, dua hari sebelum Hurin kembali kepada Pencipta yang Agung, Mama dan Baba menghadapi cabaran getir berhadapan dengan situasi Hurin yang nazak. Nafasnya kedengaran kuat dan keadaannya seolah-olah sukar untuk bernafas. Jururawat di NICU mencabut wayar yang berselirat dan membenarkan Mama dan Baba memeluk dan membisikkan kata-kata semangat ke telinganya dan membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Baba dan Mama menangis teresak-esak apabila badan Hurin semakin sejuk dan kaki serta tangannya bertukar menjadi biru. Hampir sejam keadaan itu berlarutan, sehinggalah badan Hurin beransur panas semula dan nafasnya tenang. Jururawat bagitau, belum tiba masanya lagi lalu Hurin diletakkan di dalam inkubator semula.

Situasi yang berlaku menunjukkan yang Mama ni tak akan mampu untuk sabar dan tabah menghadapi saat-saat kehilangan Hurin. Walaupun Mama sentiasa berdoa kepada Allah, sekiranya Allah panjangkan usia Hurin, jadikanlah dia kanak-kanak sempurna. Namun jika sebaliknya, Mama redha Allah ambil saja dia...biar Hurin menjadi bidadari Allah di Syurga.

Tanggal 25 Ogos 2008, lebih kurang jam 11.30 pagi, Mama menerima panggilan dari NICU. Tapi Mama tak perasan panggilan tu kerana handphone Mama dalam mode silent. Sebenarnya waktu tu Mama dah memang sampai ke HRPZ, sedang serahkan susu yang Mama pam kepada nurse di bilik susu. Bila Mama sampai di NICU, jururawat di situ bagitau yang Mama dan Baba lewat beberapa minit je..... Hurin telah kembali ke Rahmatullah.

Berderai air mata Mama dan perlahan-lahan Mama menghampiri Hurin yang telah bebas dari segala wayar-wayar yang berselirat, yang telah bebas daripada segala kesakitan, walaupun Mama berharap sangat yang Hurin tak rasa sakit sepanjang 16 hari berada di NICU. Walaupun terlewat beberapa minit, Mama redha kerana Mama pernah menyaksikan saat-saat Hurin bertarung dengan nazak tempoh hari. Biarlah Mama ingat saat-saat akhir Hurin dengan keadaan dia yang tenang begini...

Setelah selesai segala urusan pelepasan di hospital, Baba dan Mama membawa balik Hurin ke rumah Tok Pa dan Nenek untuk dikebumikan. Mama dan nenek memandikan Hurin...saat yang Mama tak boleh lupakan...kali pertama dan kali terakhir Mama memandikan Hurin.

Saat Hurin dikapankan, Mama sempat snap gambar Hurin sebelum dihalang oleh nenek kerana tak elok ambil gambar Hurin dalam keadaan macam tu, tapi Mama ambil juga untuk kenangan Mama sendiri.

Hurin dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bujok, bersebelahan rumah Tok Pa dan Nenek je...

Walaupun hanya 16 hari Mama bersamamu anakku... Mama tak akan sekali-kali melupakanmu, Bidadariku... 😢😢


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Happy Hour...

Happy Hour...
with cousins.... Abg Danish, Mya dan Yaya

Sayangsssss.....

Sayangsssss.....
Asyik menonton Monster House ~kali ke-10~

Merempit dengan Baba

Merempit dengan Baba

School Holiday 2015

School Holiday 2015
@ Chengal Hill Retreat Kg. Janda Baik

@ Le Village Beach Resort Kuantan

@ Le Village Beach Resort Kuantan
Mama bertanding menembak, Baba temankan anak2. Tiap2 hari request nak mandi kolam. Baba sampai demam sebab boring...

Apple of my eyes..

Apple of my eyes..


Hurin Ain.. Bidadari Baba & Mama

Hurin Ain.. Bidadari Baba & Mama
10/03/2008 - 25/03/2008. Al-Fatihah. Semoga kesayanganku menjadi bidadari syurga.

First Momento

First Momento
Wajah tulus mulus anak-anak di hari pertama kelahiran...

Anugerah & Amanah Allah untuk Baba & Mama

Anugerah & Amanah Allah untuk Baba & Mama

I love all of you to the moon and back!

I love all of you to the moon and back!

Back to TOP