Beginilah kisahnya...
Entahlah apa yang selalu bermain di fikiran ayah. Apabila saya ingin kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak...
"Ada duit? Mintak ayah sikit.."Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulillah, mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam.
"Emak, ayah asyik mintak duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar diteka reaksinya.
"Bagilah setakat yang ada," cadang emak pendek."Takkan 5 ringgit?"
Emak mengangguk.
Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang 5 ringgit... Tapi untuk tidak menghampakan dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.
Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah, apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota, di kocek anak saya sudah terselit wang 10 ringgit. Siapa yang bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Gelihati mengenangkannya.
Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi permintaan ayah. Kekadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan permintaannya dan tetap tersenyum apabila menerimanya. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).
Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setiap kali memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta duit pada saya bukan kerana 'tidak ada' tetapi dia ada yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.
Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta Kancil milik kami sendiri.
"Nanti, besarlah kereta kamu ni..." ujar ayah senyum.
Apapun, saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang saya dahulukan kepadanya. dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan ke kocek anak saya. "Eh, tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.
"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit di kocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.
Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta! Di samping menjadi penulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat, saya sudah mampu membeli MPV untuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekali pun, saya tetap pulang menziarahi ayah dan emak. Anehnya, ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya.
Rupa-rupanya ayah memberi bukan kerana kelebihan atau kekurangan kami, tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah Al-Wahhab itu!
Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama:
"Kini aku benar-benar faham bahawa ibu dan bapa yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibubapa yang telah tua tapi mengabaikan mereka."
"Memberi kepada ibubapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka berkekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w., keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibubapa."
Jaga diri, hiasi peribadi :x
:x :x :x
Tiada ulasan:
Catat Ulasan